KUALA LUMPUR - Pengerusi Pakatan Harapan (Harapan) Tun Dr Mahathir Mohamad menyedari sepenuhnya bahawa akan dikalahkan pada PRU14, oleh itu beliau akan cuba sedaya-upaya untuk menafikan BN menang dua pertiga.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, Tun Mahathir kemudian akan memutar-belitkannya sebagai kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana isunya bukan BN memenangi pilihan raya tetapi gagal memperoleh kemenangan dua pertiga.

“Pada masa ini, Tun Mahathir menerima hakikat Harapan akan menderita bukan sahaja akan mengalami kekalahan dalam PRU14 tetapi kalah teruk. Umno dan BN bersedia untuk meletakkan Tun Mahathir dan Harapan berada dalam keadaan menerima kenyataan pahit dengan terpaksa.

“Yang (Tun) Mahathir boleh mengharapkan ialah BN tidak akan menang majoriti dua pertiga tetapi 'simple majority' kira-kira 60 peratus kerusi Parlimen,” kata Salleh menerusi catatan dalam blognya sskeruak.blogspot.my.

Beliau berkata, Tun Mahathir berharap ini kemudian boleh ditonjolkan sebagai kegagalan Najib supaya dia boleh menghasut Umno untuk menyingkirkan Najib.

“(Tun) Mahathir memberitahu Harapan, mereka perlu menyelamatkan Malaysia dengan menyingkirkan Umno dan kemudian dia memberitahu Umno mereka perlu menyingkirkan Najib untuk menyelamatkan Umno,” kata beliau. - Bernama