BANDARAYA MELAKA - Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira) mampu menjadi salah sebuah parti yang membawa suara terbesar sekiranya tiga juta peniaga kecil di negara ini menyertai parti baru itu.

Presiden Pekira, Mohd Redzuan Abdullah berkata, beliau yakin parti tersebut akan mendapat sambutan berikutan Perkira adalah sebuah parti yang berteraskan kepada Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas).

Menurutnya, penubuhan Pekira bertujuan untuk memberi tumpuan kepada aspek pembangunan ekonomi rakyat terutama golongan peniaga kecil dan belia dalam menangani kos sara hidup.

"Ia berdasarkan pengalaman sepanjang 10 tahun saya turun padang melihat masalah yang dihadapi oleh golongan ini, ada yang terbela oleh parti politik dan ada juga terabai, tetapi mereka datang dan percaya kepada Ikhlas. Dari situ, saya nampak sokongan yang diberikan.

"Kalau anda melawati laman web Pekira, segala aktiviti lebih kepada menyelesaikan masalah rakyat, bukannya hentam orang sana sini, malah kita tiada masa untuk itu," katanya.

Beliau berkata, Pekira dianggap sebagai sebuah parti versi baru dari segi iklim politik di negara ini yang pro kepada kerajaan.

"Hasrat kita, adalah untuk mewujudkan generasi pelapis di negara ini, justeru, bagi Pekira, zaman golongan muda panjat pokok untuk pasang bendera parti sudah berakhir.

"Dalam Pekira kita memfokuskan lebih kepada pembangunan diri golongan beliau dalam menumpukan perniagaan dan sebagainya," katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Jawatankuasa Pekira peringkat negeri Melaka di Bilik Mesyuarat di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka, di sini, hari ini.

Turut sama, Timbalan Presiden 1 Pekira, Datuk Paduka Rafiee Mahambob, Naib Presiden Pekira, Dr. Muhammad Rizal Khalid Ismail dan Pengerusi Pekira Melaka, Mohd Khirul Mohd Tahir.

Beliau berkata, Pekira yang telah didaftarkan secara dalam talian pada Mei lalu, kini sedang menunggu kelulusan dari Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan berharap ia dipercepatkan.

"Kami berharap kelulusan pendaftaran Pekira dipercepatkan dan sekiranya diberi peluang parti ini sentiasa bersedia untuk bertanding di mana-mana kerusi Parlimen atau Dun.

"Ogos ini kita sudah menghampiri keahlian seramai 20,000 dan yakin mampu mencapai sasaran 200,000 seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

"Melaka adalah negeri kelima diadakan majlis pelancaran Pekira selepas Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan Perak," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.