KOTA BHARU – Pas terbuka menerima apa sahaja usul yang dibincangkan perwakilannya pada Muktamar parti itu di Terengganu pada 14 hingga 16 September ini.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sehingga kini pihaknya tiada maklumat jelas mengenai usul akan dibincangkan, namun tidak menolak kemungkinan kerjasama Pas dan Umno akan diketengahkan.

“Jadi kita tengoklah, sebab sehingga kini tiada arahan apa-apa daripada pihak pimpinan dan terserah kepada perwakilanlah isu apa yang ingin bawakan nanti,” katanya kepada media di pejabatnya di sini.

Menurutnya, Pas boleh menjalankan kerjasama dengan mana-mana pihak melalui dua proses iaitu ta’wun dan tahaluf kerana ta’wun seperti diputuskan Majlis Syura membawa maksud Pas boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan Islam, negara dan masyarakat.

Sementara itu, Mohd Amar berkata, Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli sepatutnya mengutamakan dahulu penyelesaian masalah dalaman parti itu sebelum yakin dapat menawan Terengganu dan Kelantan dari Pada pada PRU15 kelak.

“Selesaikan dulu masalah dalaman PKR, pastikan dia menang jawatan Timbalan Presiden (PKR), baru boleh bercakap,” katanya.