SHAH ALAM  - Pas Kawasan Putrajaya berharap pucuk pimpinan Pusat merestui hasrat mereka mahu Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, bertanding di kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Menurut Yang Dipertuanya, Mohamad Nazir Zakaria, peluang untuk Pas menang di Putrajaya agak besar sekiranya Husam diletakkan sebagai calon kerana pada PRU12 lalu calon Barisan Nasional, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hanya menang dengan majoriti tipis sahaja.

"Tidak mustahil beliau boleh menang di Putrajaya kerana pada PRU12 lalu Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Mohamad Nor tewas tipis kepada Tengku Adnan.

"Namun terpulang kepada Pusat untuk putuskan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.

“Sebenarnya sudah tiga kali kita menghantar surat berkaitan calon di Putrajaya kepada pihak Pas Pusat untuk dipertimbangkan, malah kita telah bertemu dengan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkenaan dengan hasrat ini.

"Pas kawasan telah bersetuju untuk menerima kehadiran Naib Presiden itu dan cadangan itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Pas Putrajaya," katanya.

Mohamad Nazir berkata, sebelum ini kedengaran bahawa Parlimen Putrajaya akan ditandingi oleh seorang pimpinan tertinggi Pas, “Memang kita sudah bincang calon-calon layak bertanding dalam PRU13, termasuk calon import, tetapi kita bertegas mahukan Naib Presiden Pas itu," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Sebuah badan pemikir, Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) menjangkakan Umno bakal kehilangan undi kaum Melayu pada pilihan raya umum akan datang, susulan perselisihan faham di antara pemimpinnya dengan bekas pemimpinnya.
  • TEMERLOH - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yakin tindakan Tun Dr Mahathir Mohamed berjumpa dengan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) tidak akan menjejaskan sokongan kaum India terhadap BN.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.