PERMATANG PAUH - Pas Permatang Pauh meluluskan usul untuk memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR selepas melihat parti itu tidak menghormati kerjasama yang terjalin sejak sekian lama.

Yang Dipertua Pas Permatang Pauh, Omar Hassan berkata, PKR khasnya di Pulau Pinang tidak menghormati Pas sebagai rakan tahaluf apabila terus bekerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara yang sebelum ini dengan lantang menyerang Pas dan pimpinannya.

Selain itu, Omar berkata, PKR didapati sewenang-wenangnya menggunakan sebilangan ahli Pas untuk kepentingan politik PKR tanpa perbincangan terlebih dahulu dengan Pas.

"Lebih memudaratkan, terdapat aduan daripada ahli Pas bahawa PKR meminta ahli kami untuk keluar daripada Pas dan sertai mereka bagi tujuan memegang jawatan tertentu di dalam kerajaan.

"Sifat tidak bertanggungjawab oleh PKR ini menunjukkan PKR sangat tidak menghormati prinsip setia kawan dan boleh menjejaskan Pas," katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Agung Pas Kawasan Permatang Pauh kali ke-40 di sini, hari ini.

Terdahulu, perwakilan daripada Cawangan To' Kandu mengusulkan supaya Pas membatalkan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR sekali gus bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh dan tiga kawasan Dun dalam parlimen berkenaan.

Usul berkenaan diterima sebulat suara oleh kesemua perwakilan yang hadir.

Mengulas lanjut, Omar berkata, PKR juga dilihat gagal membela serta mempertahankan Islam di negeri ini apabila secara terang-terangan menurut kehendak DAP dengan mencampuri urusan penfatwaan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang.

Menurutnya, terdapat beberapa fatwa yang dilengahkan dan ditangguhkan oleh PKR dan DAP melalui Exco Agama Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

"Tindakan tidak bertanggungjawab Exco Agama ini menunjukkan kepentingan politik PKR lebih diutamakan mendahului kepentingan Islam dan Pas tidak boleh bersetuju dengan keadaan ini.

"Tindakan PKR itu juga memberi pelbagai implikasi antaranya merugikan Islam, bertentangan dengan prinsip tahaluf siyasi dan menjejaskan kedudukan Pas untuk berhadapan dengan pengundi Islam dan Melayu di dalam PRU14 kelak," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Cadangan Pas mahu menangguhkan pembentangan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) mungkin kerana baru menyedari perkara itu perlu mendapat sokongan.
  • SHAH ALAM - "Hanya orang yang ‘otak senget’ memanggil Bugis sebagai lanun," kata Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
  • GOMBAK - Pas memberi gambaran Rang Udang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 bakal dibentangkan selepas PRU14.
  • KOTA BHARU - Pakatan Harapan perlu menerima hakikat Himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi dianjurkan mereka gagal capai sasaran dan bukannya menyalahkan anak muda.
  • KUALA LUMPUR - Pas menggesa kerajaan menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat peristiwa hitam Memali pada 1985.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.