KOTA BHARU – Pas tidak boleh meneruskan agenda memperdayakan masyarakat dengan ilusi mereka yang tidak berasas, kata Naib Pengerusi Amanah Negeri, Che Ibrahim Mohamed.

Menurutnya, Pas nampaknya masih terus berilusi dengan politik khayalan memandangkan amat mustahil dengan sasaran minima menang 40 kerusi, Pas mampu membentuk sebuah kerajaan tanpa sokongan parti lain.

“Umum mengetahui sebuah parti hanya boleh membentuk sebuah kerajaan di peringkat Persekutuan bila sekurang kurangnya mendapat sokongan majoriti 112 ahli Parlimen (simple majoriti).

“Bila Pas mendakwa mengganti Umno, dalam masa yang sama Pas memusuhi dan menolak kerjasama dengan Pakatan, maka dengan parti manakah Pas bakal menjadi rakan kerjasama?”katanya kepada Sinar Harian di sini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengesahkan parti itu mungkin bertanding di lebih 130 kerusi Parlimen di seluruh negara, PRU akan datang. Sasaran tersebut diletakkan bagi memastikan Pas dapat menjadi kerajaan, bukan lagi sebuah parti pembangkang.

Che Ibrahim turut mempersoalkan mengapa Pas sehingga kini tidak berani membuat dakwaan bahawa gabungan mereka dalam Gagasan Sejahtera sebagai bakal membentuk kerajaan baru di peringkat Persekutuan.