KULIM - Pas Kulim-Bandar Baharu akan terus memperkasakan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) dalam usaha menawan semua kerusi di kawasan ini pada PRU15.

Naib Yang Dipertua Pas Kulim-Bandar Baharu, Mohd Khairi Mohd Salleh berkata, DHPP akan diperkasakan untuk menjadi penghubung parti dengan pengundi bukan Islam dalam meraih sokongan mereka.

Menurutnya, pada PRU14 lalu, Pas di Dun Kulim khususnya berjaya memenangi di semua peti undi Melayu sekali gus menunjukkan harapan cerah buat parti Islam itu untuk menang pada PRU akan datang.

“Walaupun Pas kalah kali ini, kita terima dengan hati terbuka. Kita akan terus bekerja dan akan terus berkhidmat kepada warga Kulim.

“Kita akan terus berusaha mengeratkan hubungan dengan pengundi bukan Melayu melalui DHPP,” katanya.

Beliau berkata, pada PRU14 lalu walaupun Pas tidak bersama Harapan namun kemenangan 15 kerusi Dun berbanding 12 kerusi pada PRU13 menunjukkan parti itu bertambah kuat.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pengundi yang mengundi Pas dan berharap akan diteruskan lagi pada PRU15 dan khidmat akan diteruskan melalui pusat aduan rakyat yang akan ditubuhkan melalui Majlis Tindakan Dun Kulim,” katanya.

Tambahnya, Pas juga akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang dalam terus memastikan hak rakyat terbela dan syariat Islam didaulatkan.

“Kita berharap Harapan akan memberikan khidmat lebih baik daripada kerajaan sebelum ini,” katanya.