PUTRAJAYA - Pas mengekalkan kedudukannya di Kelantan dan merampas Terengganu daripada BN adalah disebabkan sikap pengundi yang terpaksa mencari jalan mudah untuk memberi sokongan kepada parti Melayu.

Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohammad berkata, 90 peratus pengundi di Pantai Timur adalah Melayu yang mana tidak menyenangi parti campuran pelbagai kaum.

“Mereka nak undi BN tidak boleh (kerana pelbagai isu), jadi terpaksa undi Pas,” katanya.

Menurutnya, faktor itu juga menjadi punca kekalahan calon Bersatu di Pantai Timur.

“Walaupun jelas mereka menyokong Bersatu, tetapi dalam PRU14, kami menggunakan simbol PKR.  Jadi rakyat tidak tahu samada calon itu dari Bersatu atau  PKR,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya mereka dibenarkan menggunakan simbol parti sendiri, Bersatu mungkin memperoleh kejayaan yang lebih tinggi.

“Ataupun sekurang-kurangnya menggunakan simbol Pakatan Harapan, saya fikir kejayaan parti kita akan lebih daripada apa yang dapat,” katanya,

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, kerjasama Umno dan Pas yang dilihat semakin akrab selepas mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya, Mei lalu tidak cukup memberi kesan kepada parti itu.

“Saya berpendapat kerjasama mereka tidak mungkin memberi kemenangan kerana di kawasan tertentu  mereka tidak boleh capai.

“ Lihat di Pantai Timur yang mana iklim dan suasananya lain. Jadi di situ mereka akan sokong Pas, tidak Umno. Namun demikian,  gabungan ini tidak mungkin cukup untuk menjadi kerajaan,” katanya dalam temubual bersama Sinar Harian dan Malaysiakini di Yayasan Kepimpinan Perdana baru- baru ini.

Mengulas mengenai keampuhan kerjasama antara Pakatan Harapan, Mahathir berkata, segalanya berjalan lancar dan keputusan dapat dicapai dengan baik.

“Kadang- kala ada perbahasan keras, namun kita dapat membuat keputusan yang dipersetujui oleh lima parti yang berada dalam kabinet,” katanya.