PETALING JAYA - Pas konsisten menentang penyelewengan yang berlaku terhadap 1Malaysian Development Berhad (1MDB) dan nafi semakin 'berlembut' berhubung isu itu.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pendekatan Pas dalam menangani isu itu adalah lebih kepada jalan penyelesaian bukannya menghentam secara berterusan susulan tindakan Pas mengundang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkenaan, Arul Kanda Kandasamy bagi menjelaskan situasi sebenar yang berlaku.

"Kita tahu 1MDB satu bencana besar buat negara dan sebab itu kita tidak berhenti menentang penyelewengan dan salah guna dana negara apatah lagi berlembut.

"Tindakan Pas mengundang Arul adalah untuk mendengar sendiri apakah masalah yang berlaku terhadap syarikat itu. Sekiranya kita terus menghentam, apakah jalan penyelesaiannya," katanya pada sidang media Program Munaqasyah, hari ini.

Minggu lalu, Tuan Ibrahim bersama kira-kira 30 Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat berpuas hati mendengar pembentangan Arul mengenai pelan rasionalisasi bagi menyelesaikan kemelut 1MDB.

Arul dalam perjumpaan tertutup selama lebih tiga jam itu turut menunjukkan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, walaupun Pas berpuas hati dengan pembentangan rasionalisasi yang diberikan oleh wakil 1MDB itu, namun terdapat beberapa perkara yang perlu diberi penekanan.

"Bukan bermakna kita berpuas hati dengan pembentangan rasionalisasi itu kita bersetuju dengan penyelewengan yang berlaku. Pas tetap tidak setuju beberapa perkara terutama apabila 1MDB diletak di bawah kementerian kewangan, tidak mustahil dana negara akan disalurkan.

"Sebab itu Pas mahu aset itu mesti dipantau oleh Parlimen selain mewujudkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) berhubung isu ini," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.