BESUT – Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Idris Jusoh membidas Pas yang mencari sokongan rakyat negeri ini dengan ‘mengitar semula’ isu projek Taman Ilmu di sini.

Idris yang juga Menteri Pendidikan Tinggi dan ahli Parlimen Besut berkata, dakwaan Pas kononnya kerajaan negeri Terengganu tidak berusaha menyelamatkan projek itu adalah fitnah semata-mata.

“Sudah, cukuplah... jangan pandai-pandai membuat komen mengenai Taman Ilmu yang dibangunkan untuk pendidikan masa depan rakyat Terengganu.

“Adakah Pas tahu yang kami sedang berusaha untuk memastikan fungsi Taman Ilmu selaras dengan usaha kerajaan negeri menjadikan Terengganu sebagai pusat pendidikan?” katanya ketika merasmikan Sambutan 100 Tahun Sekolah Kebangsaan Kampung Raja, Besut di sini, hari ini.

Idris menjelaskan, Taman Ilmu kini digunakan oleh Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZa) sebagai asrama kepada para pelajarnya di Kampus Tembila sejak setahun lepas.

Selain itu, kampus Universiti P Ramlee, yang dinaik taraf daripada  Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), juga bakal dibuka di Taman Ilmu pada Mac ini, katanya. – Bernama