KOTA BHARU – Pas tidak boleh memandang rendah indeks pencapaian utama (KPI) Amanah yang mahu merekrut seramai mungkin ahli Pas untuk menyertai parti itu.

Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Rusdi Omar berkata, tidak salah untuk Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar, meletakkan KPI seperti itu terutamanya dalam tujuan untuk meraih sokongan ahli Pas itu sendiri.

“Tujuan dia (Mahfuz ) berbuat demikian adalah untuk bagi semangat kepada kawan-kawan dalam Amanah, bahawa masih ramai daripada mereka dalam Pas dan mahu menyertai Amanah secara langsung atau tak langsung.

“Ini juga untuk menunjukkan bahawa pengaruh Amanah semakin kuat dan boleh mempengaruhi ahli-ahli Pas yang masih berkawan dengan pemimpin Amanah untuk bersama-sama melayari bahtera baru itu,”katanya kepada Sinar Harian di sini.

Mahfuz  sebelum ini mendedahkan merekrut ahli Pas untuk menyertai Amanah adalah salah satu KPI buat pemimpin parti itu.

Mahfuz juga memberitahu, kejayaan untuk menambah ahli baharu itu bukan sahaja melibatkan pendaftaran, tetapi sejauh mana mereka berjaya menarik ahli Pas untuk menyertai parti itu.