MARANG - Pas Terengganu yang mendapat kerusi Dun tertinggi di negeri itu berbanding BN dijangka memohon perkenan mengadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, hari ini.

Pengarah Pilihanraya Pas Pusat, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Pas negeri itu akan mengadap Sultan Terengganu bagi mengemukakan nama calon menteri besar negeri berkenaan.

"Pas akan mengadakan perbincangan dan mungkin esok (hari ini) akan mengemukakan nama kepada pihak Istana. Kita tengok daripada situlah," katanya ditemui Sinar Harian awal pagi tadi.

Beliau yang juga calon Pas Dun Rhu Rendang turut berjaya mengekalkan kerusi disandang presiden Pas dan berterima kasih kepada rakyat khususnya di Dun Rhu Rendang kerana memilih Pas.

"Kita mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu untuk mencapai kemenangan dalam pilihanraya ini.

"Kepada jentera, ahli-ahli parti dan seluruh rakyat yang memberi harapan kepada Pas dalam PRU14 dalam konteks Dun Rhu Rendang," kata Setiausaha Politik Presiden Pas itu.

Terdahulu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menzahirkan kesyukuran kepada ALLAH di atas kemenangan bersejarah apabila mendapat kerusi Dun tertinggi di Terengganu.

“Marilah sama-sama kita bersyukur kepada Allah kerana memberi kemenangan kepada kita.

“Alhamdulillah yang tidak terhingga, kita menghadapi lawan yang lebih kaya dan kuat daripada kita. ALLAH telah menunaikan janjiNya,” katanya ketika ditemui media di Dewan Tok Guru di Rusila, malam tadi.

Ketika ditanya mengenai kesediaan Pas bekerjasama dengan mana-mana parti di peringkat Pusat, beliau berkata, pihaknya perlu menunggu keputusan muktamad dan akan mempertimbangkan apa-apa tawaran yang diberikan oleh mana-mana pihak.