SEREMBAN – Pas Negeri Sembilan mendesak Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan membuat permohonan maaf secara terbuka sebagai mengakui kesilapan dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Bridge Gempur Pemuda BN, Rembau di Rantau, baru-baru ini.

Pesuruhjayanya, Mustafa Daharun berkata, kenyataan Pengerusi BN itu yang dilaporkan media hari ini masih belum mencukupi.

“Bagi kami benda ini perkara besar kerana ia boleh mengundang kesan buruk. Sebelum bercakap sepatutnya berfikir dulu lebih-lebih lagi beliau merupakan seorang Menteri Besar.

“Dia kata itu hanya gurauan, tapi saya tengok video itu memek mukanya serius. Jangan sekadar mahu beri alasan. Jadi kita nak beliau mohon maaf secara terbuka dan lebih formal,” katanya.

Menurutnya, polis juga didesak mengambil tindakan dan menjalankan siasatan secara telus dan tanpa berat sebelah.

Beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi juga sebelum ini memberi amaran kepada semua parti politik untuk tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam sewaktu PRU.

Manakala Timbalan Pesuruhjaya Pas, Rafaie Mustapha pula berkata, dengan kedudukan sebagai Menteri Besar tidak sepatutnya beliau menjadikan program rasmi sebagai tempat untuk bercakap sesuatu dalam bentuk gurauan.

“Sudah tentulah beliau tahu yang program itu dirakam dan akan disebarkan. Saya rasa bila beliau sedar kesan daripada ucapannya barulah mencari alasan untuk melepaskan diri.

“Bagi Pas, perkara ini serius dan beliau perlu bertanggungjawab dan memperbetulkan semula keadaan. Anak-anak muda ini jika tidak diransang begitu pun mereka boleh buat bukan-bukan, inikan pula bila seorang Menteri Besar yang membuat provokasi sebegitu,” katanya.

Dalam pada itu, Pas juga akan menghantar memorandum kepada Mohamad hari ini jam 3 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, sehingga kini terdapat empat laporan polis dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

“Siasatan sedang dijalankan dan kenyataan mereka yang terlibat akan diambil dalam waktu terdekat. Nasihat saya, semua yang terlibat dalam PRU14 supaya patuh pada undang-undang dan jaga keharmonian dan menjaga sensitiviti semua pihak,” katanya.