KUALA LUMPUR – Manifesto Gagasan Sejahtera yang bakal dikemukakan Pas mendapat kritikan daripada bekas rakan sekutunya, Pakatan Harapan (Harapan).

Pengerusi Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan sembilan teras Manifesto Gagasan Sejahtera Pas yang meliputi semua rakyat termasuk yang beragama Islam dan bukan Islam sebagai melanggar prinsip parti Islam itu.

“Pas kalau dia bercampur dengan bukan Islam, dia jadi kafir. Takkan dia boleh, dia tak boleh.

“Orang yang pegang kepada prinsip kalau bercampur dengan kafir, jadi kafir. Saya anggap parti Pas ni tak Islam,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, Pas mengumumkan Gagasan Sejahtera akan membentangkan manifesto mesra bukan Islam pada PRU14, bagi menyaingi manifesto Harapan dan BN.

[ ARTIKEL BERKAITAN: MANIFESTO UNTUK MASA DEPAN ]

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata manifesto itu mahu menarik sokongan pengundi bukan Islam kepada gabungan yang diterajui Pas itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, sembilan teras utama yang ditengah Pas itu tidak menggugat manifesto Harapan.

“Sedikitpun tidak menggugat manifesto Harapan kerana Pas terbukti tidak mengamalkan sikap mesra dengan orang bukan Islam dan juga parti.

“Saya hairan bagaimana Pas nak buat kerajaan umat Islam dan bukan Islam  sedangkan kerjasama denga parti bukan Islam pun tidak boleh,” katanya.

Khalid yang merupakan bekas Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, menempelak sikap Pas sebelum ini yang tidak menghormati hak politik bukan Islam.

“Tak sanggup nak kerja dengan DAP, parti-parti politik bukan Islam menunjukkan satu sikap tidak menghormati hak politik bukan Islam.

“Sedangkan mereka nak tubuhkan kerajaan mewakili semua, takkan mereka nak bukan Islam ini sebagai individu, mereka tak boleh wujud dalam entiti berasingan kalau kita nak bela nasib semua,” katanya.

Menurut Khalid setakat ini Pas belum menunjukkan kesediaan untuk menerima bukan Islam sebagai entiti tersendiri.

“Apa yang Pas cakap  agak bercanggah, tak menggugat Harapan pun,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming turut menempelak manifesto yang digariskan Pas dengan meminta rakyat menilai prestasi pentadbiran parti itu di Kelantan.

“Kelantan sekarang pun malang kerana diklasifikasikan oleh Khazanah Research Centre di bawah Kementerian Kewangan sebagai negeri yang paling miskin di Malaysia.

“Rakyat Kelantan mempunyai pendapatan paling rendah dan saya rasa Pas perlu membuktikan keupayaan mereka untuk mentadbir lebih baik daripada BN. Gabungan yang mampu gantikan BN ialah Pakatan Harapan,” tegasnya.

Turut mengulas perkara sama, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, Pas sebagai parti ketiga akan menghadapi kesukaran mempromosikan manifesto yang diperkenalkan apatah memandangkan parti itu dilihat tidak berpeluang membentuk kerajaan persekutuan.

“Pas juga tidak konsisten menentang rasuah apabila dilihat lebih mesra dengan BN dalam keadaan Datuk Seri Najib Tun Razak dikaitkan dengan skandal 1MDB.

“Manifesto parti yang tidak ada peluang dilaksana tidak akan diberi perhatian. Kesimpulan saya, manifesto Pas tidak akan mendapat perhatian berbanding manifesto Harapan atau BN,” katanya.