GUAR CHEMPEDAK - Pas bersifat terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja asalkan berpaksi kepada perjuangan Islam.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas menyertai politik negara pada mulanya bagi melunaskan tanggungjawab fardu kifayah.

Menurutnya, namun begitu sekarang ini tiada satu parti pun yang sanggup memperjuangkan Islam dan menyebabkan tanggungjawab itu menjadi kewajipan Pas.

"Fardu ain bagi Pas untuk memperjuangkan Islam bagi memastikan hak ALLAH terpelihara," katanya ketika berucap di majlis perasmian Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Jerai, semalam.

Katanya, objektif perjuangan Pas adalah untuk memperjuangkan sebuah masyarakat yang hidup berpaksikan kepada agama ALLAH.

"Jika ada pihak yang menolak Islam, kita akan bantah kerana Pas berpolitik untuk mendapatkan pahala dan bukannya dosa," katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, Pas menolak Umno sebelum ini kerana parti itu dikatakan menolak Islam.

"Sekarang Umno datang pada kita nak bantu kita, sebagai contoh pilihanraya di Seri Setia baru-baru ini mereka buat solat hajat untuk Pas jadi kenapa kita nak tolak?

"Kita nak menangkan Pas, kalau ada orang nak tolong kita kena terima dengan hati yang terbuka kerana ia bermaksud mereka sudah pun seiring dengan perjuangan kita," katanya.

Tambah Tuan Ibrahim, kepimpinan Pakatan Harapan pada hari ini dilihat gagal untuk memenuhi janji yang telah mereka lafazkan sebelum PRU 14 lalu.

"Bantuan nelayan pada musim tengkujuh dihentikan, BR1M akan dimansuhkan, harga minyak belum turun.

"Kesemua janji yang tak ditunaikan ini akan diingati rakyat dan kita yakin pada PRU15 akan datang rakyat tidak akan lagi mempercayai kepimpinan Pakatan Harapan," katanya.