ALOR SETAR - “Pastinya Pas berbeza daripada Umno,” tegas Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi, membidas kenyataan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang mendakwa pendekatan Pas dan Umno adalah sama.

Katanya, Pas mengetengahkan pendekatan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS), konsep kesejahteraan dalam politik dengan menjadikan Islam sebagai teras politik bernegara.

“Adalah tidak adil apabila sesetengah pihak menyalahkan Pas yang tidak sehaluan dengan Pakatan Harapan (Harapan), dianggotai DAP, PKR, Amanah dan Bersatu atau BN, kerana prinsip yang diperjuangkan Pas dengan parti berkenaan adalah berbeza,” katanya.

Menurutnya, DAP sendiri memperlihatkan permusuhan yang ketara terhadap Pas, sedangkan bukan semua keturunan Tionghoa adalah ahli DAP.

“Masih ramai kalangan mereka bersama Pas, bawah Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) atau parti yang mewakili Gagasan Sejahtera,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad Fakhruddin berkata, pada PRU14, Pas tetap bertanding di kerusi majoriti Melayu menentang BN mahupun Harapan selain menerokai kerusi campuran sekurangnya 40 peratus Melayu bersama Gagasan Sejahtera.

“Pendirian ini sebenarnya membuktikan Pas amat berbeza daripada Umno. Diharap tohmahan negatif yang dimainkan oleh pemimpin Harapan terhadap Pas dapat dihentikan kerana ia sekadar andaian,” katanya.

Kelmarin, Mahfuz mendakwa Pas dan Umno kini menggunakan sentimen DAP bagi menakutkan orang Melayu yang menyokong Harapan, selain memangsakan DAP dengan menyatakan PKR, Bersatu dan Amanah sebagai pencacai.