KUALA LUMPUR - Hubungan antara Pas dan Umno dilihat semakin ‘akrab’ dari semasa ke semasa.

Selepas Umno menghadiri Muktamar Pas di Terengganu baru-baru ini, Pas pula nampaknya memberi persetujuan untuk menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2018 pada 29 dan 30 September nanti.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa yang menganggap kehadiran Pas memberi makna besar dalam konteks gabungan pembangkang yang tidak boleh begerak berasingan sekiranya mahu menumpaskan PH.

“Secara verbal sudah disahkan, sebabnya mereka yang lebih awal menjemput kita (ke muktamar Pas) dan kita hadir dan mereka (Pas) sudah mengesahkan mereka hadir.

“Pas akan hadir di persidangan sayap dan Perhimpunan Agung UMNO," katanya dalam sidang akhbar di Menara Dato Onn, di sini hari ini, lapor Utusan Online.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Umno julung kali diundang hadiri muktamar Pas ]

[ ARTIKEL BERKAITAN: Pemimpin Umno hadir Muktamar Pas, ini respons Hadi ]

Tambahnya, seramai 5,730 perwakilan dijangka hadir dalam perhimpunan kali ini termasuk dalam kalangan anggota sayap pergerakan pemuda, puteri dan wanita.

Jelasnya, perhimpunan pada tahun ini akan dimulakan dengan ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan ia kemudiannya akan dikupas pembahas.

“Dalam perhimpunan ini kita akan banyak berbincang tentang soal parti, hala tuju parti dan mendengar suara hati ahli akar umbi.

“Kita juga beri kebebasan yang seluas-luasnya kepada semua jurucakap tanpa sebarang garis panduan yang terlalu banyak. Terutama dari segi isi dan kita tidak akan beri arahan-arahan yang spesifik," katanya.