• Mohamad Sabu Mohamad Sabu
1 /

KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat (PR) akan menganjurkan Himpunan Kebangkitan Umat di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini pada 3 November bagi menyatakan pendirian berkenaan dengan lapan tuntutan Bersih 2.0.

Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu berkata, perhimpunan besar-besaran ini dibuat bagi meneruskan tuntutan lapan perkara tuntutan Bersih 2.0, yang tidak mendapat maklum balas kerajaan dan semakin dilupai.

"PR memutuskan untuk mengadakan himpunan besar-besaran pada 3 November di Stadium Nasional Bukit Jalil iaitu tempat yang Perdana Menteri sarankan untuk mana-mana pihak yang ingin membuat perhimpunan, perlu buat himpunan di sana.
"Kami membuat himpunan ini kerana kami dapati lapan perkara yang dituntut Bersih tidak dihiraukan, terutama daftar pemilih yang bersih dan media yang lansung tidak berubah," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, di sini.

Sebelum ini, Bersih telah mengadakan tiga perhimpunan bagi menuntut lapan perkara termasuklah kebebasan media dan daftar pemilih yang bersih.

Pada 28 April lalu, Bersih 3.0 telah mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka yang menimbulkan pelbagai provokasi.

Sehubungan itu, Mohamad yang turut dikenali sebagauii “Mat Sabu” berkata, himpunan itu bukan sinambung kepada Bersih, tetapi lebih kepada suara rakyat yang di bawa oleh PR selepas tuntutan itu enggan dilayan oleh kerajaan.

Katanya, himpunan itu diramalkan akan dihadiri satu juta orang yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Bersih.

"Kita anggarkan satu juta akan hadir dalam himpunan ini, dan kita akan bersama Bersih juga dan NGO lain," katanya.

Beliau juga berkata, orang ramai yang akan menghadiri himpunan itu supaya memakai baju bewarna kuning, yang bermula pada pukul 4 petang sehingga 12 malam.