KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan berpegang teguh pada keputusan Majlis Presiden parti tersebut mengenai isu Pas dan PKR.

Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya tidak mempunyai komen mengenai perkara tersebut.

"Kita berpegang pada keputusan Majlis Presiden tempoh hari mengenai isu itu kenyataan saya.

"Melalui kenyataan-kenyataan lain sebelum ini, tidak ada percanggahan pun," katanya ketika sidang media Pakatan Harapan di Wisma Amanah Negara, hari ini.

Sebelum ini, tindakan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan Pas untuk menghadapi PRU14 telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan ahli komponen Pakatan Harapan dan pemimpin kanan PKR lain.

Bagaimanapun, Majlis Presiden Pakatan Harapan kelmarin, memutuskan Pakatan Harapan tidak akan bekerjasama dengan Pas pada PRU14.

Sementara itu, Pas menegaskan keputusan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan tidak memberi sebarang kesan terhadap parti itu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan Majlis Presiden Pakatan terlewat]

Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas, Datuk Khairuddin Aman Razali berkata, isu kerjasama politik dibangkitkan Pakatan Harapan itu telah lama diputuskan oleh Pas melalui Majlis Syura pada Mei lalu.