PUTRAJAYA - Bukti terbaharu berhubung dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membayar RM9.5 juta kepada peguam, Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah yang bertindak sebagai pendakwa raya dalam kes Liwat II, diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, bukti dalam bentuk dokumen diserahkannya kepada dua pegawai SPRM di ibu pejabat suruhanjaya itu.

"Bagaimana pun saya tidak dapat mendedahkan bukti tersebut kerana tertakluk kepada Akta SPRM," katanya.

Menurutnya, SPRM dalam jaminannya akan memberi maklum balas dalam tempoh tujuh hari berkerja.

"Kita akan dimaklumkan mereka mengenai tindakan lanjut yang bakal diambil SPRM," katanya.

Beliau berkata, Pakatan Harapan mewakili seluruh rakyat memohon SPRM menyiasat berhubung dakwaan itu.

"Kita yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersalahdan beliau berhak dibebaskan," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin berkata, tindakan kerajaan berterusan berdiam diri berhubung dakwaan itu menimbulkan kemusykilan.

"Kita khuatir ada agenda tersirat," katanya.

Menurutnya, sekiranya kerajaan membayar menggunakan dana awam seperti GST, ianya tidak adil.

Pada 31 Mei lepas, Sarawak Report mendakwa Najib membayar Shafee sebanyak RM9.5 juta menerusi akaun Ambank miliknya.

Pembayaran itu dikaitkan dengan lantikan Shafee sebagai ketua pendakwaraya semasa rayuan bagi menentang keputusan tidak bersalah melibatkan Anwar  dalam dakwaan liwat pada 2014.

Pihak kerajaan sebelum ini mendakwa kononnya Shafee hanya menerima RM1,000 sahaja bagi tugasnya itu.

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.