KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan sudah ketandusan calon  apabila menamakan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri sementara.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tindakan pakatan pembangkang itu sangat menghairankan kerana mereka 'recycle' pemimpin yang telah meletakkan jawatan.

Katanya, era pemerintahan Mahathir selama 22 tahun juga sudah lama berakhir.

“Saya pun tak faham kenapa perlu ‘recycle’. Perkara ini (calonkan Mahathir) tak perlu lagi, kerana dia dah letakkan jawatan selepas 22 tahun tadbir negara.

“Saya hairan, kenapa dia minat untuk bertanding jadi perdana menteri semula,” katanya kepada media, semalam.

Tengku Adnan berkata, Mahathir perlu mengakui apa yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari ini adalah yang terbaik buat negara.

“Masa beredar dan berubah. Jadi, kita kena terima hakikat keadaan masa ini berlainan dengan masa dia (Mahathir) jadi pentadbir negara ini.

“Saya yakin apa yang Najib telah laksanakan adalah yang terbaik untuk negara ini kerana kita mahu bergerak ke hadapan, dan mahu melihat Malaysia jadi sebuah negara maju, aman, serta lestari untuk memberi peluang kepada rakyat hidup selesa," katanya.

Konvensyen Pakatan Harapan mengumumkan Mahathir sebagai calon perdana menteri manakala Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail pula calon timbalan perdana menteri sekiranya pembangkang menang dalam pili-han raya kelak.