KEPALA BATAS - Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) sama ada beliau terus diberi peluang bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

“Keputusan sama ada saya akan terus jadi calon atau tidak akan dibuat oleh Pengerusi BN dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Yang penting adalah untuk menentukan BN dapat mengekalkan kerusi Parlimen Kepala Batas,” katanya selepas menyampaikan Insentif Peningkatan Hasil (IPH) kepada pesawah di sini, semalam.

“Apa yang penting untuk kita sekarang bukan sahaja mengekalkan kejayaan BN, tetapi juga memastikan kejayaan lebih baik,” katanya.

Abdullah, yang menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas sejak 1978 dan meletak jawatan sebagai perdana menteri tiga tahun lalu berkata, beliau akan terus memegang jawatan Ketua Umno Kepala Batas sehingga pemilihan akan datang.

Ditanya mengenai berlakunya sabotaj dalaman parti di kalangan ahli Umno Kepala Batas, Abdullah berkata, beliau tidak pasti sejauh mana sabotaj itu berlaku.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.