JAKARTA - INDONESIA. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang hari ini digesa supaya berhenti daripada menjadikan politik negara semakin keliru.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, kedua-dua pemimpin veteran itu kini dilihat semakin kerap mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengelirukan.

Katanya, sebagai contoh Lim kini mendakwa beliau bukan anti-Melayu dan anti Islam dan kenyataan itu berkemungkinan kerana mempunyai motif tertentu untuk meraih undi orang Melayu pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata Dr Mahathir pula semasa memimpin UMNO menyifatkan DAP sebagai sebuah parti yang berbaur perkauman tetapi sekarang sanggup bersekongkol dengan Lim.

Zahrain berkata tindakan kedua-dua "orang tua politik" itu menunjukkan seolah-olah politik di Malaysia belum matang, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata tindakan Dr Mahathir sangat mengecewakan ramai orang yang pernah menghormatinya.

Baru-baru ini, penasihat DAP itu mempertahankan tindakannya bekerjasama dengan bekas seterunya Dr Mahathir dalam kempen pembangkang untuk mengalahkan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.

Zahrain juga mengesa ahli-ahli politik pembangkang Malaysia supaya mencontohi sikap pembangkang di Indonesia yang tidak pernah mengkritik kerajaan secara terbuka demi kepentingan negara.

Katanya berdasarkan pengamatan beliau, ahli-ahli politik pembangkang di Indonesia sentiasa bekerjasama dengan kepimpinan kerajaan demi menjaga nama baik kerajaan dan negara.

"Ahli politik di Indonesia membuktikan kematangan politik mereka dan hanya bermusuhan semasa pilihan raya sahaja, selepas itu siapa yang kalah akan menerima kekalahan dengan hati terbuka dan tidak pernah mengganggu pemerintahan kerajaan," katanya.

Beliau berkata bekas-bekas presiden Indonesia juga tidak pernah membuat kritikan terbuka kepada presiden sekarang dan mereka juga tidak pernah mengganggu kerajaan kerana memahami setiap pemimpin mempunyai gaya kepimpinan tersendiri. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.