PUTRAJAYA - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar hari ini menghantar surat rasmi untuk berdebat dengan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Senator Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin akhir bulan lalu.

Debat dijadual akan diadakan di pekarangan Apartment Pantai Permai, Lembah Pantai, jam 9 malam, 24 Februari ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Lembah Pantai, Abdullah Izhar Mohd Yusof berkata, Nurul Izzah, yang juga Naib Presiden, mempelawa Raja Nong Chik berdebat kerana haknya selaku wakil rakyat yang dipilih secara demokratik oleh warga Lembah Pantai sering dinafikan.

Menurutnya, pihaknya dihalang untuk menggunakan prasarana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seperti dewan serba guna untuk menjalankan program- program kemasyarakatan atas nama Nurul Izzah.

“Peruntukkan RM1.5 hingga RM 2 juta yang diperuntukkan oleh Unit Koordinasi Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri kepada Parlimen Lembah Pantai, dinafikan dan ia disalurkan kepada Umno dan Barisan Nasional Lembah Pantai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas menghantar surat jemputan kepada wakil Raja Nong Chik; Pegawai Khas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Khalil Nur Rahman Kamaruzzaman di sini.

Abdullah Izhar berkata, media arus perdana juga tidak memberi peluang kepada Nurul Izzah untuk menjawab setiap isu yang dipersoalkan dan hanya mempromosikan Raja Nong Chik sahaja.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan Raja Nong Chik tidak akan berdebat, Abdullah Izhar berkata, pihaknya akan berusaha supaya beliau dapat berdebat untuk menyelesaikan isu semasa.

“Beliau seharusnya menerima tawaran berdebat ini untuk menyelesaikan isu semasa untuk rakyat dan khususnya kepada pengundi di kawasan Lembah Pantai.

“Kita akan teruskan juga program  ini dengan hanya menjemput wakil Raja Nong Chik sekiranya beliau tidak dapat memenuhi permintaan ini,” katanya.

Setiausaha Politik Nurul Izzah, Fahmi Fadzil berkata, walaupun Nurul Izzah mempunyai blog sendiri, debat adalah yang terbaik dalam amalan demokratik di negara ini kerana ia dapat bertindak balas dengan segera.

“Kita lihat banyak negara demokrasi mengamalkan debat. Mereka akan berdebat isu Lembah Pantai dan situasi politik nasional,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Keputusan jemaah Kabinet yang terburu-buru memberi kebenaran terhadap Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik (PDEA) dibentangkan di Parlimen menimbulkan keraguan oleh Pakatan Harapan.
  • SHAH ALAM - Kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berhubung cadangan menggunakan 100 peratus tenaga pekerja asing dalam sektor pembuatan amat dikesali.
  • SHAH ALAM - Anak sulung bekas Ketua Pembangkang, Nurul Izzah Anwar menzahirkan rasa syukur rentetan keputusan saman fitnah dimenangi bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
  • PERMATANG PAUH - Kerajaan Selangor harus mempamerkan keutamaan bagi menjaga kebajikan rakyat yang memberi mandat kepada PR sebelum ini untuk mentadbir Selangor selama dua penggal, berbanding isu politik semasa antara hubungan Pas dengan Pakatan Harapan.
  • PETALING JAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu buat kajian dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengatakan bahawa agenda reformasi telah terkubur.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.