GUA MUSANG - Adun Paloh, Datuk Nozula Mat Diah, sedia membantu calon baharu, Amran Arifin, dalam mendepani PRU14 yang akan diadakan kurang tiga minggu lagi.

Kata beliau, biarpun tidak tercalon pada penggal ketujuh, namun perjuangan dalam Umno tidak akan terhenti kerana khidmatnya dalam parti itu mencakupi 28 tahun.

Malah, beliau turut menegaskan bahawa setianya masih bersama Umno dan tidak akan beralih kepada parti lain.

"Saya juga turut mengarahkan ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) agar membantu Amran dan menarik balik perletakan jawatan bagi membolehkan kerja-kerja untuk PRU14 dapat dilaksanakan.

"Selama 28 tahun, iaitu enam penggal berkhidmat, saya merasakan tiada parti lain yang mampu membantu rakyat selain daripada Umno.

"Terimalah calon baharu dan berilah sokongan kepadanya. Saya sedia bantu Amran untuk memastikan Dun Paloh kekal di dalam genggaman BN," katanya lagi.

Semalam, semua ketua PDM Dun Paloh meletakkan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti terhadap wakil rakyat ini setelah nama Nozula satu-satunya calon BN di Kelantan digugurkan.

Sehari sebelum pengumuman calon dibuat, lebih 100 wakil Dun Paloh yang terdiri daripada ketua PDM, rakyat dan wakil pimpinan membuat bantahan di kediaman Ahli Parlimen, Tengku Razaleigh Hamzah, di Kota Bharu.

Mereka bertindak demikian kerana Nozula merupakan Adun yang paling lama berkhidmat di negara ini malah tidak pernah kalah dalam setiap kali pilihan raya sebelum ini.