SUNGAI BESAR – Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon mengumumkan tidak akan menawarkan diri untuk sebarang jawatan Exco Wanita Umno dalam pemilihan sayap itu hujung tahun ini.

Noriah berkata, keputusan itu diambil berikutan situasi politik semasa yang mana sokongan rakyat terhadap  BN dan Umno merosot dalam PRU-13 lalu.

Menurutnya, beliau lebih selesa mengambil peranan dan tanggungjawab untuk berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Sungai Besar dan menjalankan tugasnya sebagai Timbalan Menteri bagi memastikan perpaduan dalam sayap wanita Umno terus kekal utuh.

“Saya ada platform saya sendiri kerana boleh memperjuangkan hak wanita dalam dewan rakyat selaku Ahli Parlimen dan boleh berbincang terus dengan Kementerian (Perusahaan, Perladangan dan Komoditi) untuk membincangkan isu wanita.

“Di peringkat negeri pula, saya adalah Ahli Jawatankuasa Perhubungan Umno wanita Negeri Selangor kerana bagi saya, bukan hanya menjadi Exco Wanita saja boleh beri sumbangan, malah di peringkat bahagian dan negeri juga kita boleh berperanan dan menyumbangkan idea-idea,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Majlis Rumah Terbuka Parlimen Sungai Besar di Dewan Simpang Lima, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Noriah membuat keputusan untuk terus mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Wanita Umno Bahagian Sungai Besar dan tidak akan bertanding merebut jawatan Ketua Bahagian atau Timbalan Ketua Umno Bahagian dalam pemilihan di peringkat bahagian itu.

“Saya belum mendengar jawatan Ketua Wanita Umno Bahagian Sungai Besar ada yang menawarkan diri untuk bertanding, justeru saya akan mengekalkan jawatan dan tidak akan berganjak dengan keputusan ini.

“Apa yang penting, kerjasama daripada semua peringkat bahagian untuk terus mengekalkan parti ini agar terus mendapat sokongan rakyat tanpa memikirkan jawatan tertinggi,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Jika benar mahu menumbangkan Pas, Datuk Husam Musa tidak perlu mencalonkan orang lain untuk bertanding di kerusi Dun Panchor, yang kini digalas Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
  • AMPANG - Seramai 547 ahli Umno dan Pas telah mengambil keputusan untuk meninggalkan parti tersebut dan menyertai Bersatu Bahagian Ampang.
  • KUALA LUMPUR - Selebriti popular Azwan Ali tidak menafikan dirinya dedak kepada Umno.
  • KUALA LUMPUR - Ketua Umno bahagian Silam, Datuk Yusof Apdal mengulangi pendirian untuk meneruskan karier politknya bersama Umno dan sama sekali tidak akan menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) pimpinan abangnya, Datuk Mohd Shafie Apdal.
  • KUALA LUMPUR - Bukan mudah menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin nombor satu negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.