KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pasti punca Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed meletakkan jawatan dan bertindak keluar Umno.

Menurutnya, beliau belum berpeluang untuk bertemu dengan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

"Saya tidak pasti kerana belum cakap dengannya lagi.

"Kalau bertemu dan beliau sanggup bercerita hal sebenarnya, barulah sesuatu kenyataan atau kesimpulan,"katanya katanya ketika mengulas mengenai dakwaan bahawa Mustapa diberi kata dua untuk keluar Umno ataupun berdepan dengan pertuduhan.

Hari ini, Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan Tok Pa antara dua pemimpin Umno Kelantan sedang disiasat polis berhubung dakwaan menerima sejumlah wang.

Najib berkata, di saat getir ini, parti mendambakan kesetiaan ahlinya.

"Kalau kita selama ini  dapat segala kemudahan daripada parti, inilah masa parti memerlukan komitmen kita

"Saya berharap agar kita akan terus tunjukkan kesetian kepada Umno dan BN," katanya pada sidang media selepas pendakwaan terbaru terhadapnya di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Ketika ditanya mengenai tekanan yang dihadapi oleh beberapa pemimpin Umno yang sedang disiasat berhubung dana RM2.6 juta, Ahli Parlimen Pekan itu menasihati agar pihak berkenaan tidak gusar.

"Jangan gusar. Apa- apa pun saya harap semua pihak terus setia pada BN," katanya