KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, menyarankan bekas Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak supaya 'faham-faham sendiri' bila masa beliau perlu jarakkan diri daripada Umno.

Katanya, Najib sepatutnya mengambil langkah yang sama seperti mana yang pernah dilakukan oleh bekas Presiden Umno iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan juga Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Di masa lepas kalau kita tengok masa Mahathir menyerahkan jawatan beliau kepada Pak Lah, walaupun ketika itu dia MP Kubang Pasu tapi dia mengundur diri 100 peratus.

"Membolehkan Pak Lah ketuai parti dan mendatangkan kemenangan besar kepada BN pada 2004, perkara yang sama bila Pak Lah bagi kat Najib.

"Umno macam susah selagi Najib tidak jarakkan diri, kita masih lagi bawah bayang-bayang dia, jadi dia faham sendiri, mesti ikut jejak Tun Mahathir dan Pak Lah," katanya kepada pemberita di Parlimen, hari ini.

Nazri merujuk  komen daripada Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan Datuk Seri Johari Abdul Ghani bahawa Najib boleh dianggap sebagai liabiliti dalam usaha Umno untuk mendapatkan kembali kepercayaan rakyat.

Katanya lagi, Najib perlu memberi ruang sepenuhnya kepada Presiden Umno  Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Sudah tentulah Zahid, beliau segan nak cakap, ini bukan soal setia atau tidak setia.

"Ini soal sayang parti apatah lagi sekarang ini Najib didakwa jadi kalau dia masih lagi tak lepas sepenuhnya pada presiden baru untuk parti 'to move on' susah lah kita," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Umno perlu berani singkir Najib]

Jelasnya, agak sukar untuk Umno menyarankan Najib jauhkan diri daripada Umno kerana beliau merupakan bekas presiden parti.

"Agak sukar untuk kita sebab dia bos kita dulu tapi dia kena faham, ikut teladan Tun mahathir ... jangan tunggu sampai kita suruh.

"Tak eloklah dia mesti faham, Umno tiada dosa apa, soal pendakwaan, kepada dia bukan parti.

"Tapi selagi tak boleh jarakkan diri maknanya parti akan terpalit dan sukar untuk kita bergerak," katanya.