Najib Tun Razak
$entry.content.caption.value

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan guna apa jua cara untuk memikat hati orang Cina supaya memberi sokongan padu kepada calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas menghadiri rumah terbuka anjuran Gerakan, hari ini.

Beliau berkata, sejarah telah membuktikan orang Cina adalah pengundi setia BN sejak sekian lama dan mahu sokongan ini berterusan.

“Kita akan pikat orang Cina supaya sokong calon boleh menang untuk pilihan raya nanti, tidak kira dari Gerakan atau MCA, malah MIC dan Umno. Kami percaya, mereka adalah pengundi yang setia pada BN dan kenapa mahu menyokong orang lain (pembangkang)?

“Sejarah menunjukkan yang negara ini telah diterajui BN dan orang Cina di belakang kejayaan ini termasuklah dalam memajukan ekonomi negara. Begitu pun, pada 2008, orang Cina mengubah selera dengan memprotes dan tidak memberi undi kepada kita ,” katanya.

Menurutnya, orang Cina seolah-olah ‘terpaksa’ mengubah selera itu kerana percaya kepada pembangkang kononnya memperjuangkan hak mereka dan kerajaan sedar dengan perkara ini dengan mengambil langkah-langkah tertentu untuk menarik semula kepercayaan itu.

Untuk itu, katanya, kerajaan bukan sahaja membela nasib orang Cina terutama yang pendapatan rendah, malah semua kaum termasuklah Melayu dan India.

“Membantu meringankan beban mereka adalah strategi kerajaan untuk menawan hati orang Cina dan pada hari raya ini dengan tahun naga, saya berharap, ia membawa rahmat kepada negara ini.

“Sama-sama kita kekalkan apa yang ada sekarang dengan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan dan berharap tuah naga akan bersama-sama dengan kita,” katanya.

Ketika diajukan soalan mengenai perancangan kerajaan mengambil alih semula Pulau Pinang daripada DAP, katanya, semua berjalan baik dan “kita telah melakukan kerja bersungguh-sungguh ke arah itu.”

Mengulas mengenai usaha Umno untuk membantu Gerakan ‘merampas’ kembali negeri itu, Najib berkata, “kita akan lakukan bersama-sama.”

“Umno tidak keseorangan dalam perkara ini,” katanya.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.