KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa kecewa apabila niatnya melawat bekas Ketua Pembangkang, Datuk Anwar Ibrahim di hospital pada pertengahan November lalu disindir oleh pemimpin itu sendiri.

Najib berkata, tindakan menziarahi Anwar dibuat hanya kerana Anwar merupakan sahabat lamanya.

"Yang seorang lagi pulak, saya berziarah ke hospital melawat beliau yang sedang sakit, atas sifat kenalan lama.

"Saya hanya melawat, sebab itu saya bawa isteri bersama. Tapi, keikhlasan kami itu, tampaknya diperli dipantun pula," katanya menerusi ucapan Persidangan Perhimpunan Agung Umno di PWTC hari ini.

Setelah beberapa ketika diam tak bersuara, Najib  akhirnya tampil membalas pantun empat kerat yang dilempar Anwar.

"Burung Merpati Terbang Sekawan,

Hinggap Seekor Di Atas Dahan,

Kita Sahut ‘Lawan Tetap Lawan’,

Di Pilihanraya Bertarunglah Seperti Anak Jantan," katanya lagi.

Anwar sebelum ini memuat naik pantun empat kerat yang ditujukan jelas terhadap Najib dan isteri selepas pasangan itu melawatnya di Hospital Kuala Lumpur, 17 November lalu.

Menerusi Twitternya, Anwar memuat naik pantun empat kerat tersebut bersama pautan foto lawatan Najib dan isterinya.

"Tuai padi antara masak,

Esok jangan layu-layuan.

Ziarah kami antara nampak,

Esok pilihan raya Lawan Tetap Lawan," kata Anwar menerusi Twitternya.

Difahamkan, Anwar ditempatkan di hospital tersebut kerana perlu menjalani pembedahan di bahagian bahu.