KOTA BHARU - Sebagaimana dipersetujui tahun lalu untuk umum lebih awal calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), Umno Kelantan mengharapkan restu Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merealisasikannya.

Pengerusi Umno Negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengulangi pendirian yang sama semalam akan mengumumkan calon bertanding di Kelantan lebih awal berbanding pilihan raya sebelum ini.

Mustapa mengharapkan pertimbangan pucuk pimpinan parti kerana pengumuman awal tersebut penting bagi memberi ruang kepada calon untuk membuat persediaan menghadapi PRU13.

“Itu terserah kepada presiden dan memang secara prinsipnya telah dipersetujui, cuma apa yang dimaksudkan awal mungkin ini yang dapat dibahaskan, tetapi secara prinsip memanglah dipersetujui supaya nama calon umum awal.

“Ini juga ada yang memerlukan restu daripada keluarga. Malah jika melibatkan kakitangan kerajaan perlu urusan pencen dan sebagainya. Cuma maksud awal berapa hari, itu terserah kepada budi bicara presiden,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merasmikan Majlis Pelancaran National Blue Ocean Strategi Kejiranan Indah Rumah Pangsa Buluh Kubu.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri, Datuk Makhtar  Mustapha, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Datuk Afendi Hamzah, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Lai Yong Heng dan Penyelaras Dun Kota Lama, Tan Ken Ten.

Dalam pada itu, Mustapa memberitahu, pihaknya menyerahkan lebih 100 nama kepada pusat untuk mengisi 59 kerusi di negeri ini.

“Senarai lama sudah siap yang kini dihalusi oleh pimpinan pusat dan belum dimuktamadkan lagi,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Barisan Nasional (BN) Kelantan akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengundi di Dewan Undangan Negeri (Dun) Nenggiri walaupun penyandangnya dari Umno dilucutkan kelayakan sebagai wakil rakyat, kata Pengerusinya Datuk Seri Mustapa Mohamed.
  • JELI - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengakui hubungan baik antara parti itu dan Pas membantu mengembalikan sokongan rakyat.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.