ALOR SETAR - Kerusi yang bakal ditandingi Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PRK bukan dari negeri-negeri di utara Semenanjung.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail setelah dimaklumkan Anwar dalam perbualan ringkas awal pagi tadi, sebelum berlepas ke Hong Kong.

Menurutnya, Anwar kini hanya mempertimbangkan dua kerusi parlimen yang masih diteliti berbanding tiga pilihan sebelum ini.

“Sebelum ini ada tiga pilihan, tetapi awal pagi tadi, Anwar hubungi saya maklumkan pilihannya dikurangkan kepada dua kawasan, malah beliau sudah berikan tugasan kepada saya untuk lakukan kerja-kerja di kawasan terbabit,” katanya, pada sidang media, selepas mengadakan pemeriksaan dan pemantauan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), di MBM Distributors Sdn. Bhd, hari ini.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Anwar timbang tanding di utara, tengah atau selatan ]

Hadir sama Exco kerajaan negeri, R. Summugam dan Zamri Yusuf.

Saifuddin berkata, kerusi Parlimen di utara bukan lagi menjadi pilihan Anwar untuk kembali ke Dewan Rakyat, Oktober depan.

“Beliau sudah hampir memilih satu kawasan parlimen, mungkin sehari dua ini ketika berada di Hong Kong, beliau beroleh ilham untuk buat keputusan muktamad,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan membuat pengumuman rasmi berhubung kerusi yang bakal ditandingi Anwar sekembalinya beliau dari Hong Kong, Rabu ini.

“Ini bermakna bermula hari ini hingga Rabu, tiada perkembangan, kenalah tunggu Khamis dan hari seterusnya,” katanya.

Saifuddin turut menolak spekulasi Khamis (13 September)  ini akan diadakan sidang media khas berhubung keputusan Anwar.

“Pengumuman yang tepat hanyalah daripada saya selaku Setiausaha Agung atau Anwar sendiri. Yang lain hanyalah spekulasi,” katanya.

Menurutnya, dua kerusi parlimen dalam pertimbangan Anwar merupakan kawasan yang sangat selamat buat bakal Presiden PKR itu.

“Kedua-dua tempat itu disenarai pendek setelah mengambil kira semua aspek, antaranya keputusan pilihan raya kecil baru-baru ini, peratusan keluar mengundi, isu semasa dan politik dimainkan pembangkang. Selagi pembangkang tidak keluar dari isu politik perkauman, agama, kaum serta bangkitkan suasana cemas kalangan rakyat, kami okey, kerana strategi politik pembangkang belum berubah sekalipun sudah hilang kuasa,” katanya.

Mengulas pemilihan parti yang disifatkan panas oleh pihak luar apabila menyaksikan pertandingan antara Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali dan Naibnya, Rafizi Ramli bagi jawatan nombor dua parti, katanya, ia perkara biasa dalam pemilihan parti.

 “Ada anggap berlaku perpecahan dalam PKR apabila mereka bertanding, padahal bagi ahli, ini proses biasa. Sudah pasti pemilihan kali ini jadi tumpuan kerana kali pertama PKR adakan pemilihan sebagai parti pemerintah, selain kedudukan sebagai parti terbesar dalam PH,” katanya.

Saifuddin berkata, pemilihan parti adalah peluang untuk ahli memilih yang terbaik daripada kalangan terbaik untuk memimpin parti.

“Dalam PKR, menang atau kalah, mereka tetap ada tempat dalam parti. Bukan yang menang sahaja ambil semua, atau bila kalah hilang semua,” katanya.

Mengulas tindakan kedua-dua pemimpin itu yang dilihat seakan membuat serangan peribadi, katanya, biarlah ahli parti menilai sendiri dan membuat pertimbangan sewajarnya pada hari pemilihan kelak.