SHAH ALAM - Majlis Tertinggi Umno mempunyai kuasa penuh menentukan sama ada jawatan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden boleh digugurkan atau sebaliknya.

Peguam, Adnan Seman berkata, ia termasuk kuasa menentukan keperluan untuk Ahmad Zahid bercuti sehingga kes pendakwaannya selesai di mahkamah.

Katanya, perkara itu jelas seperti mana diputuskan dalam satu mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 29 Mei 2009 yang dipengerusikan presiden ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Dalam mesyuarat itu, Majlis Tertinggi Umno telah menerima syor jawatankuasa pengurusan parti bahawa berkuatkuasa serta-merta, pemimpin atau mana-mana ahli parti yang didakwa di mahkamah secara automatik akan digantung semua jawatannya di dalam parti dan sekiranya dia berjaya di dalam proses mahkamah, dia akan mendapat kembali jawatannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu sebagai mengulas pertikaian beberapa pihak tentang kenyataan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) parti itu yang menetapkan bahawa jika terdapat ahli yang berjawatan tinggi didakwa di mahkamah, mereka perlu mengambil cuti sebagaimana yang dilaporkan media.

[ARTIKEL BERKAITAN: Presiden didakwa Umno akan bincang pelan parti]

[ARTIKEL BERKAITAN:  Tok Mat pertahan Ahmad Zahid]

[ARTIKEL BERKAITAN:  Jawatan Ahmad Zahid kekal jika boleh ikat jamin]

Dalam pada itu, Adnan berkata, terdapat beberapa perkara di bawah Fasal 10 Perlembagaan Umno berkaitan kuasa dan tanggungjawab majlis tertinggi, antaranya Fasal 10.7 yang memperuntukkan penentuan taraf pendaftaran seseorang ahli (mengikut Fasal 5.7), menggantung atau melucutkan keahlian seseorang ahli.

Katanya, Fasal 10.10 pula memperuntukkan tentang melucutkan jawatan mana-mana ahli badan perhubungan, jawatankuasa bahagian dan cawangan atas apa-apa sebab sekali pun.

"Fasal 10.16 Perlembagaan Umno menyatakan pengambilan sebarang langkah selain daripada perkara-perkara yang tersebut di atas bagi kesempurnaan perjalanan parti.

"Ia dapat dilihat melalui kes pada 16 April 2009, jawatan Ketua Umno Bahagian Labuan yang disandang Datuk Suhaili Abdul Rahman digugurkan majlis tertinggi berikutan pendakwaan terhadapnya di mahkamah atas tuduhan membuat kenyataan palsu. Pengguguran jawatan beliau itu dibuat selaras dengan Perlembagaan Umno, Fasal 10.10," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Zahid mengaku tak salah 45 tuduhan]

Ahmad Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas 45 pertuduhan melibatkan 10 pertuduhan pecah amanah dan lapan pertuduhan menerima suapan berjumlah lebih  RM42 juta serta 27 pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah lebih RM72 juta.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan dihadapan hakim Azura Alwi.