SHAH ALAM - Umno perlu berhijrah ke posisi lebih baik sebagai cara mengembalikan keyakinan dan penerimaan orang ramai terhadap parti itu.

Calon Exco Pemuda Umno, Mohd Abroar Mohd Sidek, 32, berkata, andai terpilih jawatan tersebut dalam pemilihan sayap parti berkenaan Sabtu ini, beliau akan membawa konsep hijrah dalam Umno.

“Dalam visi saya, saya ada konsep hijrah Umno. Sekarang ini kita kena kembali kepada asal. Kita ambil cara pegangan Rasullullah SAW. Nabi Muhammad bila berlaku pergolakan dalam satu kawasan, baginda akan berhijrah.

“Sama juga seperti Umno. Umno sekarang ini perlu berhijrah ke tempat yang lebih baik. Umno sekarang ini perlu ada satu tempat yang baru. Kita tidak boleh berada di tempat lama,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Abroar merupakan bekas Ahli Parlimen Belia Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Persatuan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor, Penasihat Majlis Mahasiswa Umno Selangor, dan Ahli Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Shah Alam.

Menjawab kewajaran Umno ‘diremajakan’, beliau berkata, mempersoalkan adakah dalam proses meremajakan Umno itu perlu menolak pemimpin yang lebih tua?

Beliau berpendapat, meremajakan Umno bukan hanya pada umur pemimpin tetapi pada idea, strategi dan pendekatan yang diambil.

“Meremajakan Umno adalah konsep penstrukturannya, visi Umno dan modus operandi supaya ia lebih relevan. Umno tidak perlu diubah. Umno sudah berumur lebih 70 tahun.

“Jadi kalau kita nak meremajakan Umno, dari segi apa kita nak meremajakannya. Dari segi pemimpin? Dari segi konsep? Logo ke atau visi? Kalau meremajakan pemimpin, kita nak naikkan pemimpin muda tetapi kita yakin ke pemimpin muda itu mampu memikul beban nak tuju ke destinasi lima tahun akan datang,” katanya.