WALAUPUN usianya menjangkau 92 tahun, kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Pakatan Harapan tetap diperlukan, terutama penyokong dan akar umbi Bersatu.

Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu diharapkan bukan sahaja terus memimpin parti yang baru ditubuhkan setahun lalu, malah turut diminta menjadi calon dan bertanding pada PRU14.

Ketika ditanya adakah Mahathir berhasrat buat pertama kalinya menjadi calon pembangkang dalam PRU, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagaimanapun tidak mahu mengesahkan perkara itu.

"Buat masa ini, Bersatu masih berbincang dengan Pakatan Harapan mengenai soal pembahagian kerusi.

"Isu pemilihan calon masih belum dibincangkan lagi," kata Mukhriz seperti disiarkan dalam Sin Chew Daily.

Menurut Mukhriz, beliau tidak pasti hasrat ayahnya, sama ada ingin bertanding atau tidak.

"Saya sendiri pun tak pasti akan tanding di kawasan mana," katanya kepada akhbar itu.

Sementara itu, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berpendapat, sekiranya Mahathir bertanding pada PRU14, sudah tentu beliau mampu menaikkan moral Harapan, sekali gus meningkatkan peluang untuk pakatan pembangkang memenangi lebih banyak kerusi.

"Harapan masih belum bincang mengenai soal pemilihan calon. Sama ada Mahathir akan tanding atau tidak, ia perlu diserahkan kepada Bersatu buat keputusan," katanya.

Khidmat teksi makin tergugat

Permintaan teksi di sekitar Lembah Klang kini semakin berkurangan atas faktor saingan perkhidmatan e-hailing seperti GrabCar dan Uber.

Selain itu, pemandu teksi turut bimbang mengenai masa depan masing-masing apabila adanya perkhidmatan bas percuma di stesen MRT yang baru dibuka.

Tinjauan yang dilakukan oleh wartawan China Press mendapati, pendapatan diperoleh pemandu teksi sekitar Lembah Klang jauh berkurangan kebelakangan ini.

"Ramai pemandu teksi mengadu pendapatan harian mereka kini hanya mampu digunakan untuk perbelanjaan harian.

"Ramai orang sekarang lebih suka naik GrabCar dan Uber kerana lebih murah. Ekonomi sekarang agak teruk, sebab itu tak ramai orang suka naik teksi," kata seorang pemandu teksi ketika memberitahu akhbar ini.

Katanya, kerajaan diharap memahami masalah dihadapi pemandu teksi dengan memberikan subsidi agar dapat mengurangkan beban ditanggung.

"Kalau tidak ada pilihan lain, ramai pemandu mungkin akan berhenti daripada memandu teksi lagi. Mungkin akan tukar kerja lain atau terus rehat di rumah sahaja," katanya.

Manakala seorang pemandu teksi lain pula memberitahu, kerajaan sepatutnya tidak meluluskan perkhidmatan GrabCar dan Uber di Malaysia kerana ia akan menjejaskan perkhidmatan teksi.

Lebih banyak produk Malaysia dijual di China

Malaysia mampu meningkatkan eksport jualan produk tempatan di China apabila Pos Malaysia menjalinkan kerjasama dengan China Post Group Corporation.

Sebuah hab logistik e-dagang Malaysia-China ditubuhkan bagi menyediakan kemudahan dan peluang kepada syarikat dari kedua-dua negara mengakses pasaran lebih besar.

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan, China Post adalah firma penghantaran milik Kerajaan China cukup besar dalam e-dagang kerana memiliki jaringan lebih 50,000 pejabat pos di seluruh negara itu.

Oleh itu, kata Ka Chuan, bagi Pos Malaysia, kini tiba masa ia mentransformasikan model perniagaannya kepada hab logistik e-dagang.

"Dalam bidang e-dagang, China adalah pasaran terbesar di dunia kerana penggunanya amat gemar membeli pelbagai barangan melalui online.

"Untuk itu, ia dapat dilaksanakan dengan penubuhan Pavilion Malaysia di laman web e-dagang China Post, ule.com dan memasarkan produk PKS ke pasaran republik ini,” katanya seperti dipetik dalam Oriental Daily.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PEMILIHAN Naib Presiden MCA, Datuk Dr Hou Kok Chung sebagai calon untuk Parlimen Tebrau pada PRU14, menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan akar umbi bahagian berkenaan.
  • PAKATAN pembangkang yakin memenangi semua 12 kerusi parlimen dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan pada PRU akan datang.
  • KEMASUKAN bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang pemimpin dalam Pakatan Harapan dilihat telah mengukuhkan pakatan pembangkang itu setelah ketiadaan Pas.
  • KUALA LUMPUR - Dalam Perhimpunan Agung MCA ke-64 yang berakhir Ahad lalu, semangat dan moral ahli-ahlinya amat tinggi. Ketika PRU semakin dekat, apakah situasi ini mampu mengembalikan sokongan pengundi kepada parti Cina ini?
  • PKR atau Bersatu akan mempunyai Ahli Parlimen terbanyak sekiranya Pakatan Harapan mampu membentuk kerajaan pada PRU akan datang.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.