KUALA KANGSAR – Umno Bahagian Kuala Kangsar bersedia membuat laporan polis bagi meminta pihak berkuasa itu menyiasat pihak bertanggungjawab menyebarkan mesej fitnah tular di media sosial membabitkan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Mastura Yazid.

Ketuanya, Maslin Sham Razman berkata, pihaknya melahirkan rasa dukacita terhadap mesej tular menerusi aplikasi WhatsApp dan media sosial baru-baru ini yang menuduh kepimpinan Umno Bahagian Kuala Kangsar cuba menekan Mastura untuk meletakkan jawatan wakil rakyat dan keluar parti.

Menurutnya, pihaknya berpendapat mesej berkenaan boleh memecahbelahkan keharmonian dan kerukunan Umno bahagian dan wakil rakyat berkenaan.

“Kita akan menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berwajib untuk mengambil tindakan selanjutnya.

“Umno bahagian akan memberikan komitmen sepenuhnya ke atas siasatan polis dan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang menyebarkan mesej fitnah itu,” katanya kepada media di sini hari ini.

Maslin berkata demikian sewaktu diminta menjelaskan isu penularan mesej dari laman Facebook peribadi Mastura yang mendedahkan wakil rakyat itu ditekankan beberapa ‘orang’ ketua Umno bahagian itu untuk meletakkan jawatan wakil rakyat dan keluar Umno.

Mesej itu dipercayai ditularkan di media sosial baru-baru ini dan melalui kenyataan mesej itu, Mastura menegaskan beliau sekali-kali tidak akan tunduk dengan tekanan mana-mana pihak.

Maslin berkata, Umno Kuala Kangsar akan sentiasa bersikap terbuka dan mengharapkan Mastura terus menjalinkan kerjasama dengan Umno bahagian selaku ‘ex officio’ di dalam jawatankuasa Umno bahagian.

Merujuk kepada keputusan pertukaran keahlian parti Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Mastura Yazid dari Umno Kuala Kangsar ke Umno Rembau baru-baru ini, Maslin menegaskan pihaknya berserta seluruh kepimpinan Umno bahagian Kuala Kangsar menghormati keputusan beliau.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Mastura dan berharap beliau terus memberi sumbangan serta bantu Umno walaupun beliau bukan lagi ahli Umno Kuala Kangsar,” katanya.