KUCHING - Ketua Menteri Sarawak mahu anggota parlimen dari negeri itu yang dilantik ke dalam kerajaan persekutuan menangani isu pembangunan infrastruktur di Sarawak yang agak unik berbanding di Semenanjung.

Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof, perkara itu antara yang disampaikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud kepada menteri dan timbalan menteri kerajaan persekutuan daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu yang melakukan kunjungan hormat ke atas Abdul Taib selaku Presiden parti hari ini.

"Ketua Menteri mahu menteri-menteri yang baru dilantik membawa inspirasi kerajaan negeri dan mencari penyelesaian di peringkat pusat kerana ada dasar yang dibangunkan di pusat kadang-kadang mungkin tidak sesuai dengan negeri dan kami perlu sesuaikan dengan keadaan setempat," katanya kepada pemberita selepas kunjungan itu, di sini.

Antara yang hadir ialah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Douglas Uggah Embas; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri; Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi.

Sementara itu, Rohani berkata, Taib turut meminta menteri serta timbalan menteri yang baru dilantik menjaga perlakuan mereka sebagai menteri persekutuan daripada Sarawak.

"Pada masa yang sama, Ketua Menteri turut meminta saya untuk mengadakan satu persidangan bagi memperkasa penglibatan wanita dalam perniagaan terutamanya di Sarawak.

"Selain itu, Ketua Menteri turut meminta supaya jangan lupakan masalah-masalah di bandar kerana jika tumpuan hanya diberikan kepada pembangunan di luar bandar sahaja, perlahan-lahan masalah di bandar pula akan timbul," katanya. - Bernama

ends.