• Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu
1 /

KANGAR - Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berharap orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan bahawa senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya umum ke-13 telah dikeluarkan.

Beliau berkata Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak belum mengemukakan senarai calon dan tiada siapa mengetahui individu yang bakal menjadi calon parti komponen itu di Perlis.

Pengerusi BN Perlis itu juga berharap orang ramai, khususnya anggota Umno, tidak melayan perkhabaran berkenaan.    "Keadaan akan jadi kelam-kabut jika ada yang percaya tentang senarai calon itu," katanya selepas merasmikan program Bersama Kumpulan PNB di Taman Datuk Jaafar dekat sini hari ini.

Md Isa, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, berkata BN sudah pasti akan meletak calon yang bersedia menjadi  wakil rakyat serta berupaya memberi perkhidmatan terbaik.

"Kita tidak menyenaraikan tokoh hanya untuk menjadi calon, tetapi yang lebih penting, menjadi wakil rakyat yang berkualiti," katanya. - Bernama