PENAMPANG -  Sebuah parti yang kuat dan bersatu padu akan kembali dihormati dan diyakini rakyat, kata Timbalan Setiausaha Agung MCA Datuk Wee Jeck Seng.

Justeru, anggota MCA digesa supaya mengetepikan perbezaan dan mencari jalan untuk mengukuhkan parti bagi memenangi kembali undi rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) yang akan datang, katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA Bahagian Penampang di sini hari ini.

Wee berkata MCA mengalami kemerosotan sokongan dalam PRU13 dan antarapunca yang dikenal pasti ialah ada dalam kalangan ahli parti itu tidak mengundi calon parti mereka sendiri.  

"Sebagai contoh, pilihan raya kecil Kajang baru-baru ini.  Sekitar 40 peratus (anggota MCA) boleh bertanya mengapa mereka perlu mengundi seorang calon  MCA, " katanya.

Dalam perkara ini, Wee berkata MCA telah melantik sebuah badan bebas untuk menilai sama ada calon parti itu mampu menang atau tidak dalam pilihan raya akan datang.

Beliau berkata langkah ini merupakan satu langkah yang diambil oleh sebuah jawatankuasa bagi menghadapi PRU ke-14.  Wee juga menyeru anggota MCA untuk merapati masyarakat akar umbi supaya mereka boleh memahami perjuangan parti itu. - Bernama