KUALA LUMPUR - MCA tidak akan membincangkan isu calonnya pada PRU14 menerusi media memandangkan perkara itu adalah isu dalaman parti yang perlu diselesaikan antara pihak yang berkenaan, kata Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau sebaliknya mahu setiap anggota MCA, sama ada yang terpilih sebagai calon ataupun tidak, bekerja keras dan memberikan komitmen penuh bagi menghadapi PRU yang bakal diadakan pada bila-bila masa.

“Saya tidak akan bincangkan isu calon MCA di media kerana isu calon saya  berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sahaja… ini adalah isu dalaman parti dan saya rasa memang tidak patut diuar-uarkan melalui surat khabar.

“MCA kini dalam persiapan yang terbaik  untuk menghadapi pilihan raya dan calon-calon tidak boleh dijadikan satu isu… MCA sebagai sebuah parti perlu bekerja keras untuk parti, untuk rakyat dalam negara ini,” katanya selepas menyerahkan ‘Pride of Workmanship Awards’ oleh Rotary Club kepada 66 pekerja KTM Berhad di sini hari ini.

Tiong Lai  yang juga Menteri Pengangkutan berkata  demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas cakap-cakap politik bahawa  Setiausaha Agung MCA yang juga Anggota Parlimen Tanjong Malim Datuk Seri  Ong Ka Chuan tidak akan bertanding pada PRU14.

Mengulas lanjut,  Tiong Lai berkata MCA telah menyerahkan senarai calonnya kepada Najib selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN), yang menampilkan lebih 50 peratus muka baharu termasuk orang muda, calon usia pertengahan dan juga veteran yang diyakini dapat membantu kemenangan MCA pada pilihan raya itu.

“Untuk jumlah kerusi, kerusi MCA tidak bertambah dan tidak berkurang… isu kerusi tiada masalah kerana dalam BN kerusi telah diagih-agihkan sejak dahulu lagi dan kalau ada pertukaran kerusi, komponen parti akan berbincang, tiada masalah,” katanya. – Bernama