GOMBAK - Menteri Besar, Amirudin Shari memohon maaf kepada penduduk sekitar Batu Caves yang terjejas dengan kesesakan lalu lintas di Jalan Sungai Tua di sini susulan Pemilihan PKR Cabang Gombak yang berlangsung di Kompleks Sri Siantan, di sini hari ini.

Amirudin mengakui lokasi pusat undi itu  menghadapi masalah lalu lintas namun ia disifatkan kondusif bagi proses pengundian.

"Lokasi ini agak selesa untuk pengundian, mudah di akses dan dekat dengan jalan cuma hadapi jalan masalah masuk yang agak padat.

"Saya minta maaf kepada penduduk disebabkan jalan agak padat namun saya jangka jalan kembali lancar menjelang petang. Keadaan ini boleh dikatakan normal waktu hujung minggu," katanya.

Dalam perkembangan lain katanya, beliau menyasarkan lebih 2,000 ahli parti akan keluar undi di Gombak.

"Mengikut data pemilihan lepas hanya 800 ahli keluar undi. Pemilihan kali ini menunjukkan kehadiran lebih baik kira-kira 1,000 pengundi telah keluar mengundi setakat jam 1 tengah hari.

"Cuaca agak panas, suasana terkawal dan kita harap polis juga dapat mengawal keadaan. Harapan saya supaya pemilihan berjalan secara sihat dan calon dapat membawa misi masing-masing," katanya.

Terdahulu, Amirudin yang bertanding Ketua Cabang PKR Gombak tiba di pusat undi kira-kira jam 12.30 untuk mengundi dan meninjau suasana pusat pengundian.