SHAH ALAM - Pilihan Naib Presiden PKR, Tian Chua untuk ke penjara kerana tidak mematuhi perintah polis untuk meninggalkan Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada tahun 2012 merupakan sebahagian daripada perjuangan dalam dunia politik.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, pihaknya menghargai usaha Tian Chua dan berharap akan bersama sekali lagi meneruskan perjuangan demi rakyat.

"Saya mengenali Tian Chua sejak beliau bergerak dalam NGO. Apabila saya dipilih oleh parti Pas mengetuai Jawatankuasa Mobilisasi dan Demokrasi, banyak himpunan yang diadakan dan Tian Chua antara yang tidak pernah gagal menyertainya.

"Kini beliau memilih untuk berada dalam penjara selama satu bulan. Saya ucapkan syabas kepada beliau semoga perjuangan kamu dan perjuangan kita bersama akan terserlah tidak lama lagi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tian Chua membuat keputusan mengejutkan apabila menarik balik rayuannya terhadap hukuman penjara sebulan kerana tidak mematuhi perintah polis untuk meninggalkan Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada tahun 2012.

Perkara itu diumumkan ketika di hadapan panel tiga hakim mahkamah rayuan semalam yang dipengerusikan Hakim Tan Sri Mohtarudin Baki.

Susulan keputusan dibuatnya, Tian Chua perlu menghadapi hukuman penjara bermula hari ini.

Tian Chua atau nama sebenarnya Cua Tian Chang sebelum itu membacakan satu kenyataan yang mengumumkan beliau selepas lima tahun berjuang untuk kes tersebut, beliau mengambil keputusan melepaskan peguamnya dari terus mewakilinya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Selepas lima tahun, Tian Chua akhirnya pilih ke penjara]

Mengulas persahabatannya bersama Tian Chua, Mohamad berkata, mereka berdua saling berganding bahu turun ke jalan raya mengadakan himpunan menuntut pilihan raya yang bersih menerusi himpunan rakyat secara aman.

"Apabila setiap kali himpunan nak diadakan, Tian Chua muncul untuk memberikan pandangan-pandangan dalam mesyuarat, bahkan turut terlibat secara aktif di setiap himpunan. Dari himpunan Bersih 1 sampailah ke Bersih 5, Tian Chua tidak pernah ketinggalan, dan jika saya dipilih sebagai komander himpunan, Tian Chua adalah timbalannya.

"Semoga regim kleptokrasi akan ditumbangkan melalui kebangkitan rakyat dalam pilihan raya yang akan datang," katanya lagi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :