SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) yakin bahawa Negeri Sembilan bakal ditadbir oleh perikatan itu ekoran "kebangkitan rakyat", yang diperlihatkan pada program Himpunan Kebangkitan Rakyat di Seremban, semalam.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, PR mempunyai keyakinan akan menawan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berdasarkan sokongan ditunjukkan rakyat dengan menghadiri majlis semalam walaupun dalam keadaan hujan.

Menurutnya,  pada tahun 2008 PR tidak memiliki kekuatan seperti sekarang.

PR dianggotai Pas, PKR dan DAP. Kini ia mentadbir Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Bagaimanapun apabila semua parti bekerjasama dalam setiap program yang dianjurkan PR, katanya, ia menunjukkan pembangkang semakin kuat.

"Kita yakin PR akan menang untuk tawan Negeri Sembilan pada kali ini.

"Kita kata sebegitu kerana rakyat turun menunjukkan sokongan kepada semua program yang kita buat termasuk Himpunan Kebangkitan Rakyat, semalam.

"Walaupun cuaca tidak menentu dan hujan tapi sambutan masih menggalakkan, dan semua ahli parti di kawasan itu juga bekerjasama untuk menjayakannya, kami semakin kuat daripada tahun 2008," kata beliau kepada Sinar Harian Online hari ini.

Semalam, PR telah mengadakan Himpunan Kebangkitan Rakyat di Negeri Sembilan dan menampilkan barisan pemimpin PR, artis-artis dan aktivis-aktivis.

Mengulas lanjut, Mohamad Sabu berkata, PR akan terus mengadakan Himpunan Kebangkitan Rakyat - yang paling besar Januari depan.

Berdasarkan maklumat sebelum ini, PR menganjurkan perhimpunan semalam untuk menyegarkan semula tuntutan ke arah pilihan raya yang bebas dan adil.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.