AMPANG - Presiden Amanah, Mohamad Sabu adalah antara beberapa nama yang dijangka akan bertanding merebut kerusi di Selangor pada PRU akan datang.

Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim berkata, Mohamad bersama beberapa lagi pemimpin Amanah yang lain akan ditandingkan di negeri ini bagi meningkatkan kekuatan Amanah dan Pakatan Harapan di Selangor.

"Sukacita saya umumkan hari ini, bahawa Amanah Selangor akan menurunkan nama-nama besar pimpinan nasional sebagai calon di Parlimen dan Dun Selangor.

“Dalam erti kata lain, Amanah Selangor komited menawarkan yang terbaik melalui Pakatan kepada rakyat Selangor bagi menjamin kesinambungan kerajaan Pakatan Selangor dan kerajaan baru Pakatan Putrajaya," katanya menerusi ucapan di Konvensyen Amanah Selangor di sini, hari ini.

Selain Mohamad, Izham turut mengumumkan nama Naib Presiden Hasanuddin Mohd Yunus, Pengarah Komunikasi Khalid Samad, Pengarah Strategi Dr Dzulkefli Ahmad, Ketua Wanita Amanah (Awan) Nasional Dr Mariah Mahmud dan Anggota Parlimen Sepang Hanipa Maidin untuk bertanding di Selangor.

Selain itu, nama pimpinan Amanah Selangor seperti Saari Sungib dan Hasnul Haharuddin turut dicadangkan sebagai calon parti itu di negeri tersebut.

Bagaimanapun, Mohamad ketika bercakap pada sidang media hari ini berkata, pengumuman tersebut hanya cadangan peringkat awal dan belum dimuktamadkan lagi.

"Nak bertanding di kerusi mana, kita belum tahu. Itu hanya cadangan daripada pihak Amanah Selangor, nanti kita bincang dan putuskan," kata Mohamad.

Beliau bagaimanapun meminta semua pimpinan dan anggota untuk terus menumpukan perhatian terhadap persiapan jentera parti dalam menghadapi PRU.

"Soal urusan pengagihan kerusi dan calon akan dibuat mengikut ketetapan dan rundingan di semua peringkat," katanya lagi.
 

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SABAK BERNAM - BN Selangor mengalu-alukan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyertai gabungan tiga lagi bekas menteri besar daripada parti itu yang bertekad menawan kembali negeri berkenaan pada PRU14.
  • KUALA LUMPUR - Presiden MIC, Datuk Seri Dr S.Subramaniam hari ini mengingatkan anggota MIC, agar tidak menjadi 'musuh dalam selimut', kerana ia boleh menghancurkan parti yang dibina sejak 71 tahun lalu.
  • KOTA BHARU - Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu berpeluang bertanding lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum ke-14 kerana kini tidak lagi terikat dengan mana-mana pihak atau pakatan kecuali Gagasan Sejahtera.
  • BERA - BN terutamanya Umno mesti bekerja keras ke arah berhadapan dengan pertandingan satu lawan satu bagi menghadapi pembangkang terutama Pakatan Harapan pada PRU14 akan datang.
  • KUALA LUMPUR - Tiga bekas menteri besar Selangor akan bergabung bagi memastikan BN menawan kembali negeri tersebut pada PRU14.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.