JAKARTA - Kerajaan Pakatan Harapan bukanlah "flip-flop" (cepat mengubah keputusan)  tetapi  terpaksa menghadapi pelbagai kekangan dalam melaksanakan manifestonya dalam Pilihan Raya Umum lalu.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata, manifesto disediakan PH sebelum ini itu juga sebenarnya telah menghadapi kekangan tertentu berikutan tidak mempunyai maklumat lengkap disebabkan halangan daripada kerajaan sebelum ini.

" Kami bukan flip-flop, (selepas mengambi alih kerajaan) kami juga terpaksa menghadapi kekangan (peninggalan bebanan oleh kerajaan sebelum ini).

(Namun) Ada manifesto yang sudah kami dapat laksanakan, dalam tempoh 70 hari, daripada 10 janji dalam 100 hari itu dua janji kami sudah tunaikan, enam dalam proses pelaksanaan dan dua lagi belum dilaksanakan," katanya yang juga Ketua Setiausaha PH.

Saifuddin berkata, kerajaan PH bertekad menunaikan semua janji-janjinya itu dan berkemungkinan mengambil tempoh satu penggal pemerintahan dengan terpaksa membuat beberapa perubahan berikutan kekangan dan keadaan tertentu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata, kerajaan memerlukan masa lebih daripada 100 hari untuk menunaikan janji-janji yang terkandung dalam manifesto PH.

Antara janji-janji PH ialah menangguhkan pembayaran hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), meningkatkan tahap gaji minimum dan menubuhkan jawatankuasa bagi membincangkan Perjanjian Malaysia 1963.

Turut dijanjikan, penubuhan suruhanjaya siasatan diraja mengenai skandal melibatkan 1MDB, Felda, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Lembaga Tabung Haji.

Beberapa janji PH sudah dilaksanakan seperti mengeluarkan nama peminjam PTPTN daripada senarai hitam dan memansuhkan cukai barangan dan dan perkhidmatan (GST).

Saifuddin yang dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari ke Indonesia bermula semalam itu, mengadakan pertemuan bersama pelajar Malaysia di Jakarta hari ini.

Beliau turut memberikan penjelasan berkenaan kejayaan PH yang mengambil alih kerajaan pada pilihan raya umum lepas.

"Rakyat mahukan perubahan, istilah Malaysia Baharu adalah istilah yang diungkapkan rakyat dan kerajaan Pakatan Harapan akan melakukan yang terbaik dalam memenuhi keperluan dan aspirasi rakyat," katanya. - Bernama