SEREMBAN - BN negeri hari ini melancarkan Manifesto BN Negeri Sembilan 2018-2022, dengan menfokuskan dua teras utama, iaitu Memakmurkan Negeri dan Mensejahterakan Rakyat, ditambah dengan Skim Mensejahterakan Rakyat.

Melalui Teras Memakmurkan Negeri, terdapat sembilan fokus utama yang merangkumi pelbagai aspek antaranya pendidikan, ekonomi, pelaburan, infrastruktur, agama Islam, Perkhidmatan awam, perpaduan, pertanian dan pelancongan.

Manakala bagi Teras Mensejahterakan Rakyat pula, sebanyak sembilan fokus utama juga diberi penekanan iaitu perumahan, kesihatan, sukan, orang asli, belia, wanita, kemiskinan, keselamatan, dan alam sekitar.

Dalam pada itu, turut ditambah dengan skim mensejahterakan rakyat, antaranya bagi bayi dan kanak-kanak tambahan RM50 caruman Skim Amanah Dana Anak Malaysia (ADAM50), menjadikan RM100, insuran percuma di Tabika Kerajaan, bantuan khas untuk anak Negeri Sembilan melanjutkan pengajian di IPT beserta insentif Poket Wifi, meneruskan pemberian lesen penjaja percuma, bantuan khas RM550 kepada rakyat Negeri Sembilan yang memulakan rumahtangga.

Pemeriksaan Pap Smear dan Mammogram, rebat bio air bagi semua rumah ibadat yang berdaftar, perkhidmatan bas percuma ke kawasan tumpuan, bantuan khairat kematian RM1,000 bagi setiap warga Negeri Sembilan.