ALOR SETAR - Majoriti janji ditawarkan BN Kedah dalam manifesto ‘Menerus Kemajuan dan Menzahir Impian’, pada PRU14 untuk rakyat Kedah menawarkan insentif dan tawaran merangkumi tujuh kluster utama untuk terus membela rakyat, selain meneruskan agenda pembangunan negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah menegaskan, inisiatif dan manifesto PRU14, bukannya sekadar janji kosong.

Beliau berkata, satu pertiga daripadanya sudah dilaksanakan, manakala satu pertiga lagi kandungan dalam manifesto itu pula sudah tersedia dana peruntukan dan kelulusannya.

Menurutnya, baki satu pertiga daripada inisiatif dalam manifesto ini yang menggariskan 12 keutamaan pula sudah siap dirangka dengan kerja awalan telahpun digerakkan.

“Dalam konteks inilah, seperti mana 13 edisi PRU yang sudah pun berlangsung, BN Kedah terus komited dan berazam selain memegang janji bagi menerus kemajuan dan menzahirkan impian,” katanya pada majlis pelancaran Manifesto BN Kedah, di Stadium Sultan Abdul Halim di Jalan Suka Menanti, malam kelmarin.

Manifesto BN Kedah PRU14 menampilkan tawaran yang lebih jitu untuk menjamin kesejahteraan rakyat serta kesinambungan pembangunan dengan projek berimpak tinggi bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

Dengan anggaran perbelanjaan keseluruhan RM65.334 bilion, BN Kedah menggariskan tujuh kluster utama yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya terus mendapat mandat daripada 1.2 juta pengundi berdaftar di Kedah.