HULU TERENGGANU -  Pengguguran nama Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Seri Jailani Johari(DSJJ) daripada disenaraikan sebagai calon BN pada PRU14 ini mengundang ketidakpuasan hati dalam kalangan segelintir penyokong.

Malah,  beberapa kain rentang telahpun 'naik' atau dipasangkan di beberapa lokasi dalam dun-dun di Parlimen Hulu Terengganu yang mendesak agar Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu dicalonkan kembali.

Difahamkan, kain-kain rentang tersebut dipercayai mula dipasang malam tadi yang tertera perkataan-perkataan mengambarkan solidariti kepada Jailani seperti 'kami perlukan kepimpinan profesional, kekalkan DSJJ'.

Selain itu, terdapat juga kain rentang yang menyatakan sumbangan Jailani kepada rakyat di Hulu Terengganu sepanjang sepenggal bergelar Ahli Parlimen Hulu Terengganu setelah memenangi kerusi berkenaan pada PRU13 lalu (Majoriti undi 8,213).

Pada Majlis Pengumuman Calon BN Terengganu PRU14, Ahad lalu di kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman mengumumkan Datuk Rosol Wahid sebagai calon kerusi P038 Hulu Terengganu.