ALOR SETAR - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dijangka membuat pengumuman rasmi berhubung parti politik pilihannya selepas keluar dari Pas.

Menurut sumber terdekat Mahfuz, beliau akan mengadakan sidang media khas berhubung pendiriannya dalam politik, walaupun umum mengetahui sokongannya terhadap Pakatan Harapan (Harapan).

“Memandangkan Mahfuz akan berada di Parlimen, kemungkinan beliau akan buat kenyataan akhbar di Kuala Lumpur selepas tempoh bertenang 45 hari itu berakhir. Dijangkakan sidang media khas itu diadakan dalam minggu ini, ” katanya.

Mahfuz mengumumkan keluar Pas berkuat kuasa jam 11.59 malam pada 31 Disember 2017, setelah bersama dengan parti itu sejak 34 tahun lalu.

Beliau bagaimanapun belum memutuskan untuk menyertai mana-mana parti politik sehingga selesai tempoh bertenang.

Mahfuz sebelum ini meminta tempoh 45 hari bagi menentukan parti politik yang bakal disertai namun tegaskan komitmen untuk bersama Harapan bagi melakukan perubahan politik negara.

Tempoh itu akan berakhir pada 17 Mac depan.

Ramai yang meramalkan Mahfuz bakal memilih Amanah, kerana sering menghiasi pentas ceramah parti itu sejak awal, bagaimanapun selepas penubuhan Bersatu, Mahfuz dilihat lebih cenderung kepada aktiviti parti diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Malah, Mahfuz melantik dua pegawai khasnya di kawasan masing-masing mewakili Amanah dan Bersatu, menyebabkan akar umbi tertanya-tanya status politik bekas Naib Presiden Pas itu.