PADANG TERAP - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid membidas pihak tertentu, termasuk  akhbar tempatan, yang mengaitkan dirinya sebagai antara individu yang akan meninggalkan parti.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, laporan akhbar itu tidak sepatutnya mengaitkan dirinya dengan tindakan keluar parti dan berpendapat laporan itu sebagai andaian semata-mata.

Perbuatan mengaitkan beliau dan memuatkan gambarnya bersama Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada bahagian muka depan serta halaman kedua akhbar itu menimbulkan persepsi yang tidak baik pada diri dan parti, katanya.

Bercakap  kepada pemberita pada Majlis Kacau Bubur Asyura daerah Padang Terap, di sini,  hari ini, Mahdzir meminta pihak terbabit bertanggungjawab dan mencari kaedah terbaik untuk memperbetulkan laporan tersebut.

Sebelum ini, beberapa pemimpin Umno mengumumkan meninggalkan parti dan terbaharu ialah bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri  Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Ahli Parlimen Jeli dan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman yang juga Ahli Parlimen Kimanis.

Dalam pada itu, Mahdzir turut membidas ahli Umno yang meninggalkan parti ketika parti sedang diuji dan menyifatkan mereka tidak ada daya tahan dalam perjuangan. - Bernama